salam sayang untuk readers yang d'kasihi lagi d'rahmati ALLAH s.w.t.
sy ada something untuk d'sharekan. ni boleh jadik macam tazkirah lah jugak. bukan ayat sy sendiri. tapi apa yg sy nak sharekan ni sy copy dr fb yg d'post dr sorang kawan sy ni. *bukan copy cat okay* hikhik (^_^*) lepas sy bace sy rase mcm nak share je dekat blog. sebab apa yg dy cuba nak smpaikan tu penuh lah dgn pengisian yg b'manfaat. so, let's read.....
Tajuk: ILMU ITU CAHAYA, JAHIL ITU BAHAYA
Di akhir zaman ini ramai dari kalangan ahli abid tertipu dengan
banyaknya ibadah yang dilakukan. Berlakunya ini semua kerana si ahli
abid merasakan setiap ibadah yang dikerjakan tanpa menyandarkan
perbuatan dan amalannya itu dengan izin dan rahmat Allah jua. Tanpa
keizinan Allah, tanpa rahmat dan kasih sayang Allah serta tanpa kudrat
dan Iradah dari Allah swt, kita semua lemah tidak mampu berbuat apa-apa.
Kalau tidak Allah izinkan, hendak gerakkan lidah untuk bertutur bicara
pun kita tidak akan mampu apatah lagi untuk duduk bangun, rukuk, sujud
menyembah Allah swt.
Maka patutkah kita berbangga dan sombong dan
berasa hebat kiranya kita berjaya dan berkebolehan dalam melaksanakan
sesuatu amalan? Kalau kita mampu bangun malam beribadah dan banyak
sembahyang sunat hingga kita menjadi abid, siapakah yang hebat? Kita
hebatkah atau Allah yang hebat? Tentulah Allah yang hebat kerana Allah
telah memberikan kita kemampuan untuk beribadah, kalau kita
bersembahyang, berpuasa, menutup aurat, mampu menulis artikel dan
sebagainya, apakah itu semua keupayaan kita? Tidak itu semua dengan
rahmat dan kasih sayang Allah. Tanpa rahmat dan kasih sayang Allah tentu
kita engkar dan sesat seperti orang lain juga.
Ingatlah,
pembaca budiman kiranya kita angkuh, riak, ujub dan takabur dengan apa
yang ada pada kita, tidak mustahil suatu hari Allah akan tarik balik
nikmat-Nya yang dikurniakan kepada kita. Katalah ketika ini kita
tergolong ke dalam golongan orang yang berharta, kaya raya, harta
melimpah ruah kita pun tidak sedar diri. Kononnya kitalah manusia yang
paling mewah dan kaya raya di dunia ini. Hasil dari sifat takabur dan
angkuh itu sudah tentu kita menjadi seorang yang kedekut, bakhil, tamak
dengan harta, mahu keluarkan sepuluh sen pun untuk membantu anak-anak
yatim dan fakir miskin fikir seribu kali.
Harta itu hanya
pinjaman Allah, sekelip mata Allah boleh papa kedanakan si kaya yang
sombong. Andaikata seseorang itu dikurniakan ilmu kepadanya sehingga
dengan ilmunya itu jadilah dia orang terkenal, di sanjung di puja maka
mulalah penyakit hati menyerang jantung kalbunya jadilah dia seorang
ahli ilmu yang bongkak, rasa diri lebih, lebih bijak dari orang lain,
pandangan dan pendapat orang lain semuanya salah, pandangannya sajalah
yang tepat dan betul. Golongan ini sungguh tertipu dan rugilah ia kalau
ia tidak cepat-cepat bertaubat.
Walaupun kita menjadi seorang
alim ulama atau penulis artikel tapi itu semua bukannya membuktikan
kehebatan kita, bukan juga kepandaian dan kepintaran kita tetapi itu
semua rahmat dan pinjaman dari Allah semata-mata. Itu satu amanah dari
Allah, di akhirat kelak Allah akan persoalkan.. ... “Ilmu yang penuh di
dalam dadamu wahai hambaku..... ke mana kamu salurkan? Adakah untuk
mengajak manusia menyembah Aku atau dengan ilmu itu engkau menyesatkan
dirimu juga orang lain?” Alangkah malangnya ketika itu kiranya jawapan
demikian kita persembahkan kepada Allah swt (kerana di akhirat nanti
tidak boleh lagi kita berbohong dan berselindung apa-apa dari Allah):
“Tuhanku, aku gunakan ilmu yang Engkau kurniakan untukku dahulu ke jalan
kemurkaan-Mu, dengan ilmu itu kuambil peluang untuk mencari publisiti,
cari nama dan kemasyhuran, cari kemewahan, memandang rendah dan hina
pada si jahil yang sepatutnya aku yang bertanggungjawab membasmi
kejahilan di dada hamba-hamba- Mu, semakin aku lupa pada-Mu, semakin aku
ego, sombong dan rasa diriku tuan, malah bila orang lain sesekali buat
kesalahan, aku hukum mereka, seolah-olah aku Tuhan.....”
Maka
menangislah golongan ahli ilmu yang tertipu dengan ilmunya itu. Menurut
Matan Zubat: “Ahli ilmu yang fasik akan dibenci Allah dan akan
dihumbankan ke dalam lubuk neraka lebih dahulu daripada orang kafir
penyembah berhala.” Wal ‘iyazubillah. Alangkah beruntungnya ketika Allah
minta pengakuan dari hambanya di Yaumil Mahsyar kelak kita dapat
menjawab sekurang-kurangnya begini: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya dengan
ilmu yang Engkau kurniakan padaku, kugunakan sebaik-baik penggunaan. Aku
mengajak manusia yang jahil ke arah kebenaran, aku menyeru umat manusia
agar menyembah-Mu, sujud syukur pada-Mu, aku mengajak manusia beriman
pada-Mu, pada Rasul-Mu dan pada hari kemudian, pada syurga dan
neraka-Mu, kuajak lagi manusia agar berfikir tentang keagungan dan
kehebatan-Mu menjadikan alam yang luas terbentang ini.....” Begitulah
jawapan orang yang alim yang terpimpin lagi di kasihi Allah. Semakin
berilmu semakin ia rendah diri, semakin ia merasakan dirinya lebih
banyak dosa kalau hendak dibandingkan dengan orang lain, seringkali
merasakan dirinya tiada apa-apa hanya yang ada seribu kelemahan dan
kekurangan. Inilah resmi padi, makin berisi, semakin tunduk ke bawah.
Selamatlah golongan ini. Ilmu yang beginilah yang dikatakan membawa
cahaya kepada mereka yang berilmu. Ilmu merupakan cahaya yang menerangi
hidup seseorang insan yang sedang teraba-raba dalam kegelapan.
Ilmu yang mengajak manusia mengenal dan mentauhidkan Allah. Bukannya
ilmu yang semakin didalami semakin ia lupa pada Allah, semakin tinggi
ilmunya semakin ia kufur dengan Allah. Tanda ilmu itu tidak berkat,
semakin kita menuntut ilmu semakin angkuh dan sombong, samada dengan
Allah mahupun sesama manusia. Semakin berilmu semakin rasa diri hebat,
tidak langsung merasa hebatnya dan Maha Kuasanya Allah. Semakin menuntut
ilmu, penyakit hati semakin tebal bersarang dalam dada seperti sombong,
ego, riak, ujub, takabur, merasa diri mulia, memandang rendah pada
orang lain dan sebagainya. Andai kata kita tidak sempat bertaubat
sedangkan dalam diri kita penuh dengan penyakit-penyakit hati itu,
ingatlah tempat yang selayaknya adalah lubuk neraka yang terbawah
sekali. Lebih berat lagi para alim ulama yang tidak beramal dengan
ilmunya dan tidak menyampaikan ilmu yang ada dalam dadanya pasti akan
mendapat laknat Allah. Mereka masuk neraka lebih dulu dari penyembah
berhala. Marilah sama-sama kita berdoa agar kita semua menjadi ahli ilmu
yang bakal menerangi alam fana ini dengan cahaya ilmu yang kita
pelajari.
Sematkan dalam dada dan hati: “Aku akan membasmi
kejahilan kerana kejahilan itu bahaya dan bisa menjerumuskan diriku ke
neraka dan bisa menghancurkan perpaduan umat Islam di dunia ini.”
No comments:
Post a Comment